Friday

MMHE Sasar Bahagian Lebih Besar Dalam Pasaran Baik Pulih Kapal LNG

JOHOR BAHARU, 25 Okt (Bernama) -- Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (MMHE), anak syarikat milik penuh MISC Bhd, mengunjurkan memperoleh bahagian yang lebih besar dalam pasaran baik pulih kapal tangki gas asli cecair (LNG) dan dok kering.

Pengerusi MISC, Tan Sri Mohd Hassan Marican, berkata MMHE, yang mempunyai dermaga di Pasir Gudang, menjangkakan membaik pulih 13 kapal tangki LNG dalam tahun kewangan semasa berbanding 10 buah pada tahun kewangan lepas.

Ia setakat ini sudah membaik pulih sembilan kapal LNG dan menjayakan aktiviti dok kering tahun ini, katanya.

"MMHE kini merupakan antara beberapa dermaga kapal di rantau ini yang mempunyai kemudahan dan kemahiran dalam bidang khusus ini.

"Ia berada pada kedudukan terbaik untuk memperoleh bahagian yang lebih besar dalam pasaran dok kering dan baik pulih kapal tangki LNG yang sebelum ini didominasi oleh dermaga kapal Jepun dan Korea Selatan," katanya pada menamakan kapal tangki LNG ke-25 MISC, "Seri Ayu" oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di limbungan kapal MMHE di Pasir Gudang di sini hari ini.

Mohd Hassan yang juga Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petroliam Nasional Bhd, berkata MMHE menjalin usaha sama dengan Samsung Heavy Industries dalam menawarkan perkhidmatan baik pulih kapal tangki LNG, menjalankan kerja akhir dok kering dan pemeriksaan ujian pasca gas bagi kapal tangki baru.

"MMHE telah membuktikan keupayaannya dalam bidang ini dan saya berharap lebih banyak pemilik kapal akan menimbang untuk menggunakan dermaga Pasir Gudang untuk baik pulih kapal-kapal tangki LNG mereka pada masa depan," katanya.

Beliau berkata permintaan global untuk LNG dijangka kekal kukuh, dengan permintaaan semasa kira-kira 160 juta tan metrik setahun diunjurkan meningkat berganda menjelang 2015.

"Selari dengan pertumbuhan permintaan, barisan kapal tangki LNG dijangka meningkat daripada 232 kapal di seluruh dunia setakat Julai 2007 kepada 378 memandangkan kapal tangki yang ditempah akan memulakan perkhidmatan menjelang 2011.

"Penyerahan 'Seri Ayu' akan memperkukuhkan kedudukan MISC dalam pasaran kapal tangki LNG global yang semakin meningkat dan akan menawarkan fleksibiliti operasi dalam pasaran LNG yang sentiasa berkembang bagi menampung permintaan semasa dan jangka sederhana yang semakin meningkat.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamed Khaled Nordin, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman, dan presiden/CEO MISC, Datuk Shamsul Azhar Abbas dan pengarah urusan/CEO MMHE Wan Yusoff Wan Hamat.

Petikan dari BERNAMA

0 comment:

Post a Comment

Site Search